BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, September 23, 2008

Dari Sahabat untuk sahabat - Mahasiswi sebagai Agen dan Pencetus Perubahan Dalam Kalangan Wanita


*Syukran atas keizinan penulis untuk berkongsi hasil penulisannya di sini. Artikel dibawah telah disiarkan dalam Akhbar Siyasah.Tahniah, sahabatku.

Mahasiswi merupakan golongan terpelajar dan golongan yang terpilih untuk memperdalam ilmu di kolej-kolej, kampus-kampus, universiti-universiti dan apa jua gelaran institut-institut pengajian yang dapat disama ertikan dengan gedung menimba ilmu di seluruh pelosok dunia ini. Mahasiswi sebenarnya secara tidak langsung telah menggalas satu amanah yang sangat besar, yang terpikul di atas pundak mereka iaitu mereka harus menyampaikan dan mempraktikkan ilmu-ilmu yang telah mereka timba dan mereka perolehi demi untuk kepentingan masyarakat amnya dan wanita khasnya.
Kesedaran dan tanggungjawab bahawa isu wanita harus dibela perlulah ditanam dan disemai dalam diri semua mahasiswi. Isu-isu wanita seperti hak penjagaan anak, hak mendapat harta pusaka, hak mendapat harta sepencarian, perceraian, penderaan oleh suami, wanita dirogol, dibunuh, kanak-kanak perempuan diculik dan pelbagai lagi isu dan hak wanita yang perlu diambil perhatian dan dipandang serius perlulah dicakna oleh setiap mahasiswi. Hal ini disebabkan tidak terdapatnya golongan yang mampu membela dan menuntut hak-hak wanita yang terabai melainkan golongan mahasiswi sendiri.
Tidak dinafikan terdapat badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan sukarelawan yang tampil untuk membela hak-hak wanita, contohnya Sisters In Islam (SIS). SIS dilihat sangat gah dan hebat dengan namanya yang islamik dan tindakan-tindakannya yang agresif, yang kononnya membela hak wanita. Akan tetapi, tidakkah disedari bahawa di sebalik keindahan nama SIS yang mencerminkan keislaman dan kewibawaan dalam membela hak-hak wanita sebenarnya telah memalit kotoran kepada Islam sendiri apabila mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang indah dan fleksibel.
Tindakan golongan sebegini wajib disekat dan dihentikan agar Islam tidak dipermainkan dan dipijak-pijak oleh mereka yang buta hidayah serta berlagak tahu dan arif tentang hukum-hukum Islam. Maka, siapakah yang layak menentang golongan ini jika bukan mahasiswi sekalian? Jelas di sini betapa pentingnya peranan mahasiswi sebagai golongan intelektual dan cendekiawan dalam membela dan mencetus arus perubahan kepada kaum wanita di negara ini. Mahasiswi tidak hanya cakna dengan isu kemahasiswaan bahkan isu-isu wanita turut dijadikan agenda utama dalam perbincangan mereka kerana mahasiswi juga adalah wanita!
Dalam usaha untuk merealisasikan mahasiswi sebagai agen pencetus perubahan dalam kalangan wanita, perlulah mahasiswi itu sendiri mempersiapkan diri mereka ke arah itu. Kepekaan kepada isu yang berlaku di sekeliling mereka, penguasaan dalam bidang penulisan, pengucapan awam dan multi media amatlah penting dan merupakan kriteria-kriteria utama yang perlu dikuasai oleh setiap mahasiswi. Memetik kata-kata Naib Presiden Gamis, Saudari Rafidah Salleh dalam tulisannya yang bertajuk ‘Muslimat dan Elemen “MP3” ‘, beliau menyeru para siswi agar menguasai elemen “MP3” iaitu Multi media, Public speaking, Penulisan dan Peka isu. Begitu menarik sekali formula ini, pendek tetapi membawa maksud yang sangat besar dan mendalam kepada mereka yang bergelar mahasiswi. Beliau sendiri merupakan ikon MP3 yang terbaik dan wajar dicontohi oleh semua mahasiswi di seluruh kampus di negara ini.
Justeru, peranan mahasiswi sebagai juru bicara ummah terutamanya kepada golongan wanita tidak boleh dipandang enteng dan remeh. Wanita merupakan aset penting negara kerana bilangan wanita yang ramai pada akhir zaman ini memberikan keistimewaan kepada mereka dalam pelbagai perkara bahkan pemilihan tampuk kepimpinan negara juga ditentukan melalui undi daripada wanita. Wanita adalah insan istimewa yang diciptakan Allah Ta’ala dengan kekuatan emosi dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran melebihi kaum lelaki. Terkadang kaum lelaki amat susah untuk mendalami dan memahami seorang wanita kerana hanya wanita sahaja yang memahami wanita. Allah SWT memuliakan kaum wanita sehingga banyak sekali hal-hal wanita disebut di dalam Al-Qur’an tidak seperti mana kaum lelaki yang hal mereka lebih banyak disebut secara umum. Bergembiralah anda kerana menjadi seorang wanita dan bertambah lagi kegembiraan anda jika anda adalah seorang mahasiswi atau dalam erti kata lain adalah seorang wanita yang masih muda, yang masih kuat lagi kuat kudrat dan akal fikirannya untuk memberi sumbangan masa, tenaga dan buah fikiran untuk agama yang sangat-sangat kita cintai, ISLAM.


Koordinator PERSADA,
Nurhafizah Yaacob
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
Kampus Kuantan, Pahang.

0 comments: