BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, October 20, 2009

SEARCHING....(5 : 54)

[54, Al Maidah] Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya." (5 : 54)


Dalam keindahan hidup berjemaah, hidup berorganisasi, berprogram...hati pejuang yang masih belum 'kacing' dengan Allah,mesti terpalit, terlintas rasa kurang suka, geram, tak puas hati.. AstaghfiruLLAH..

Jadi apakah yang perlu kita renung sebentar?
Renungi, tekuni, fikirkan tentang diri kita dari sudut pandang seorang ahli perjuangan Islam ini..kita kembali pada ayat di atas, 54:Al Maidah..

Individu Muslim,mestilah berusaha menyediakan dirinya untuk memiliki kesemua akhlak asasi yang ditegaskan dalam ayat di atas..

SEARCHING...
1) Muslim yang dia mencintai Allah dan Allah juga mencintainya
2)bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin
3) bersikap keras terhadap orang kafir
4)berjihad di jalan Allah
5)tidak takut dengan celaan orang yang suka mencela.

Jumpa orangnya????Pencarian masih belum selesai...peluang menyertainya masih terbuka. Terbuka sampai akhirat. Kerana Al Quran dan segala isi kandungannya terpelihara dan relevan sampai akhirat..Let's join!!!

Persediaan fardi ini,memang tanggugjawab setiap dari kita. Tetapi kepada gerakan Islam, 'nature' pembinaan ahli-ahlinya hendaklah menekankan kaedah haraki dalam tarbiyah. Membawa maksud, ke arah pembinaan kepada individu yang mendokong perjuangan gerakan Islam, bergerak atas faham,jelas dan redha dengan taklifan dan komitmennya.

Kepentingan 'pembinaan' ini, pada saya ianya bersifat penting. Kerana ianya membentuk ahli yang benar-benar mampu berperanan secara berkesan dalam Gerakan Islam di mana-mana peringkat dan yang paling penting, rentak langkah syura individu itu dan ijtihadnya menurut manhaj dan prinsip.

Dan yang cantiknya, ialah indivdu-individu ini akan membentuk susur galur yang kuat. Kekuatan itu bersama ramai. Bersama Jemaah.Secara tidak langsung, kekuatan Jemaah turut terjana subur. Ahli yang bergerak,subur jiwanya, dan benar-benar menjiwai dan menghayati kaedah-kaedah amal Jamaie.. SubhanaLLAH..

Inilah proses yang bertujuan untuk melengkapkan seluruh dinamisme gerakan Islam di segi tanzim,organisasi,penyusunan dan seluruh perancangannya..

Haa..mujahidah sufi, fikrah haraki. Andakah???

Sunday, September 27, 2009

KEDAH DALAM JAGAAN

Selaku anak jati Kedah yang pulang beraya di negeri sendiri. Timbul rasa kecewa dengan tahap kebersihan negeri Kedah. Tidak dinafikan, sampah merata-rata dan sangat menyakitkan mata memandang dan hidung yang menghidu bau.

Semasa perhimpunan Mahasiswa bersama Menteri Besar, di Seri Mentaloon, persoalan ini juga ditimbulkan. AlhamduliLLAH, sudah ada penerangan dibuat. Dan saya mengambil langkah setapak untuk mewar-warakan kepada sahabat-sahabat yang lain tentang usaha kerajaan negeri Kedah yang serius menjaga kebajikan rakyat. Berikut adalah kenyataan akhbar dari Menteri Besar Kedah, Dato’ Azizan Abdul Razak di dalam lidah rasmi PAS; Harakah .

ALOR SETAR, 26 Sept: Masalah longgokkan sampah terutama di kawasan perumahan di sekitar bandaraya ini, dijangka dapat diselesaikan awal November ini selepas sebuah syarikat swasta mengambil alih kerja-kerja mengangkut sisa buangan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, masalah berkenaan masih tidak dapat diselesaikan, kerana syarikat terbabit yang sepatutnya mengambil alih tugas daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), terpaksa menangguhkan kerja mereka sejak 1 Sept lalu.
"Ini berikutan dari permintaan dari Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu menyemak semula terma-terma berkaitan nasib pekerja MBAS selepas penswastaan kerja-kerja mengangkut sampah.
"Sekarang lori-lori mereka sudah sampai, masalah ini kena selesai betul-betul supaya tidak jadi masalah berlarutan dan kita harap ia selesai pada November ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi beliau di Seri Mentaloon, di sini.
Ustaz Azizan memberi respon terhadap laporan media yang mendakwa bandar raya Alor Setar semakin kotor kerana terdapat banyak longgokan sampah yang tidak diangkut sehingga menyebabkan bau busuk. Menurutnya lagi, masalah berkenaan bukanlah perkara baru dan bukanlah salah kerajaan negeri.
"Dari segi pentadbiran, kita tak boleh buat apa-apa kerana ini adalah permintaan dari Ceupacs sendiri. Kita menyedari tentang ketidakselesaan rakyat. Saya berasa dukacita dan memohon maaf kepada orang ramai yang berasa kurang selesa," ujarnya lagi.

Dari penulis,sebenarnya kes ini sudah termasuk dalam perhatian pihak kerajaan.Perlaksanaan akan berlaku cuma mungkin perlukan masa.Jadi,sama-sama kita perkasakan elemen penerangan kepada masyarakat setempat.

EID MUBARAK


Salam perjuangan,

 Salam Eid Fitri,

Ramadhan telah meninggalkan kita. SunnatuLLAH, bumi berputar,malam dan siang silih berganti,erti taat dan patuh padaNYA. Setiap yang hidup akan mati, setiap hari juga,ada mujahid kecil dilahirkan di dunia ini.

Ramadhan berlalu,bersama 1 tinggalan.Bekalan yang kita akan lihat hasil timbangnya di Akhirat. Tetapi timbul kebimbangan, keraguan dengan keupayaan diri untuk menempuhi hari mendatang. Masih terngiang-ngiang khutbah raya dari Imam kampung yang menyeru kita terus memperkasakan ibadah pada bulan seterusnya. Masih tersemat kemas pesanan Ustazah Hasliza (PhD, Jordan) sewaktu ber’consultation hour’ selepas subuh Ramadhan bersamanya.Nasihatnya bahawa bukankah setiap 2/3 pagi, Allah akan mengkabulkan doa bagi yang memerlukan, Allah akan mendengar rintihan kita..jadi,rugilah bagi kita yang melihat hanya Ramadhan sahaja peluang yang ada untuk memohon doa.SubhanaLLAH.
Eid Fitri disambut penuh fitrah dan syukur. Musafir dalam Ramadhan Al Mubarak 1430H, setiap dari kita mempunyai kisah,cerita tersendiri. Sedih dan suka. Biarlah kita simpan.Simpan dalam hati.Moga ianya jadi panduan pada hari mendatang.Kita maafkan semua insan. Kita syukur dengan segala dugaan dan ujian dari Allah yang padanya pasti ada kebaikkan kepada kita.


Semasa merayakannya, kita bertemu dengan sanak saudara, memohon maaf atas segala kata dan sikap yang kurang disenangi selama ini,kita juga melakukan amalan bersedekah,kita bertakbir dan bertahmid bersama.

Antara amalan yang biasa kita lihat sepanjang Syawal ialah amalan ziarah menziarahi. Sedikit komen mengenai sikap anak muda sekarang yang lebih gemar berehat di rumah pada pagi Syawal. Betapa ruginya mereka kerana tidak memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya. Peluang begini berlaku setahun sekali. Masa inilah kita cuba dekati jiran, bertanya khabar setelah lama tidak bertemu disebabkan mempunyai komitmen akademik di bandaraya. Selain itu, warga emas pasti berbunga hatinya melihat anak muda berbondong segak dan manis datang ke terataknya untuk menziarahinya.



Teringat pada perbualan dengan anak sepupu yang pekat loghat Kedahnya. "Ustazah (panggilan kepada saya), kita tak beraya lagi"..Terfikir.Keliru. Baru sahaja kami bersalaman sebentar tadi. Kemudian anak kecil molek, Adrieanna namanya berkata, " dah dapat duit raya baru kira beraya". Wah, itu takrif raya bagi kanak-kanak. Amalan pemberian duit raya seakan-akan menjadi perkara wajib semasa hari raya. Sesiapa yang berkunjung ke rumah tanpa memberikan duit raya pasti 'dikutuk' oleh kanak-kanak. RM 10 sudah menjadi nilai terendah yang disisipkan dalam sampul duit raya.

Dan akhirnya,saya tertarik untuk memberi idea pada pembudayaan rumah terbuka di kalangan masyarakat kita. Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Boleh dikatakan dalam sehari terdapat 3 atau 4 undangan ke rumah terbuka dari penduduk  taman perumahan yang sama. Saya meraikan budaya ini. Cuma kadang-kadang yang paling sedih ialah berlaku pembaziran makanan. Paling tidak, kita berbincang terlebih dahulu dengan jiran untuk menyusun gilir membuat rumah terbuka. Dari situ, banyak benda dapat dijimatkan seperti wang,makanan,masa dan tenaga.

Benar, La’allakum Tattaqun..Moga-moga kamu beroleh taqwa.Selepas Ramadhan, kita jadi semakin takut dengan Allah. Kita semakin tahu,bahawa Allah itu ada.Kita semakin cakna tentang ibadah wajib dan sunat.Kita semakin laju berlari mendekatiNYA..Itu indahnya Ramadhan.

Jadilah hamba Rabbani, bukan hamba Ramadhani…

Wednesday, September 9, 2009

TOK JANGGUT ; QUDWAH BUAT PEMIMPIN

Hj. Mat Hassan bin Panglima Munas atau Tok Janggut anak melayu jati Kelantan diperanakkan pada sanah 1268 bersamaan dengan TM 1850. Semasa ia lahir dari kandungan ibunya oleh uri yang tebal (Tebal Tembuni).
Tatkala umur Mat Hassan genap dua puluh lima tahun, beliau tersangatlah berani dan handal orangnya serta menjadi ketua bagi sekelian kawan-kawannya (Kepala Pengat) dan jika ada pencuri yang masuk kampung hendak mencuri, maka beliaulah akan memukul atau menikam pencuri tersebut.
Ada pun sifat tubuh Mat Hassan iaitu tingginya lebih kurang enam kaki. Bentuk badannya sederhana, warna kulitnta hitam manis, matanya bulat dan tajam pula pemandangannya serta kemerah-merahan alamat ia seorang yang berani. Dahinya luas, alamat luas kira bicara. Kepalanya besar tanda berakal dan rambutnya botak menunjukkan ia kuat berfikir dan kening lebat, tanda tetap didalam membuat sesuatu keputusan.
Pakaian yang digemarinya pula ialah dari jenis yang berwarna hijau. Senjata yang selalu ada di badannya ialah sebilah keris majapahit berhulu gigi luk sembilan iaitu keris pusaka dari bapanya. Budi bahasanya tersangat halus dan suka menolong orang yang ditimpa kemalangan dan kesusahan, tetapi beliau sangat juga sangat pembengis jika barangsiapa berbuat jahat atau zalim dan beliau pernah menikam orang yang berbuat zalim dengan kerisnya
Semasa berumur lebih kurang tiga puluh tahun, Mat Hassan telah mula menyimpan janggutnya sehingga panjang mencecah ke dada. Bermula dari situlah nama Mat Hassan lebih dikenali dengan nama panggilan “Tok Janggut”.
Tok Janggut naik haji ke Mekah pada tahun 1327H bersama sepupunya Tuan Guru Hj. Salleh kampung Alur Pasir Wakaf Berangan. Semasa di Mekah, Tok Janggut sempat berguru dengan Syekh Ahmad Al Fatani.
Apabila British mengenakan cukai kepada rakyat Kelantan, ramai yang tidak berpuas hati. Tambahan pula En. Abdul Latiff iaitu Tuan Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang baru tiba dari Singapura selalu sahaja bersikap kurang ajar kepada orang-orang kampung ketika melaksanakan tugasnya untuk mengutip cukai. Lalu orang-orang kampung yang diketuai oleh Hj. Mat Hassan bin Munas atau lebih dikenali dengan nama Tok Janggut berserta rakan-rakannya seperti Tok Abas, Tok Hussin, Hassan Rimau, Berahim Teleng dan ramai lagi bangun dan menentang pihak British yang bersikap kuku besi. Mereka bergabung dengan Tengku Besar Tuan Ahmad iaitu pembesar di Jeram, Pasir Puteh Kelantan bersama-sama membentuk hampir tiga ribu orang dalam empat pasukan yang diketuai oleh sahabat-sahabat Tok Janggut.
Dalam peperangan itu, akhirnya Tok Janggut mati ketika sedang sedang berjuang menentang di medan perang. Mayat Tok Janggut dibawa dari pasir Puteh ke Kota Bharu dengan kereta lembu dan diarak diseluruh bandar Kota Bharu untuk tontonan rakyat jelata. Selesainya dibawa berkeliling di Padang Bank sebanyak tiga kali, mayat Tok Janggut disait (gantung songsang) di tengah Padang Bank selama satu jam. Kemudian mayatnya dibawa ke Pasir Pekan untuk dikebumikan di sana.
Rujukan dari buku “Riwayat Hidup Tok Janggut” susunan Hj. Abdullah Amirah cetakan Sinaran Bros 1957. Hj Abdullah adalah anak kepada Awang Merah, iaitu salah seorang rakan setia Tok Janggut sewaktu menentang British tahun 1915.
Segala yang di atas, dari sudut pandang sejarah. Dari sudut yang lain:
Agama dan Aqidah – mempunyai pegangan agama yang kuat. Semasa berada di Mekah, beliau sempat menuntut ilmu dengan Syeikh Ahmad Al Fatani. Beliau juga merupakan ikon agama Islam di kalangan masyarakat setempat.
Semangat memperjuangkan Tanah Air – beliau terus terang menentang system-sistem yang menzalimi penduduk. Tegas membawa isu untuk menuntut hak dan keadilan. Jika kita alihkan pandangan ke zaman sekarang, masih adakah golongan muda seperti ini? Atau cara pewajahan kita terhadap isu sudah berbeza?
Ukhwah dan kerjasama – Beliau tidak bergerak seorang diri dan beliau sangat-sangat yakin dengan kemampuan sahabat sepasukannya.. No leader rides alone.
Tertarik untuk menggunakan Law of Magnetism dalam kisah perjuangan Tok Janggut. Di sebabkan penampilan Tok Janggut yang mempunyai janggut yang mencecah dada, beliau lebih sinonim dengan gaya orang agama. Masyarakat Melayu ketika itu, cukup menghormati golongan ini. Disebabkan penampilannya begitu, maka beliau sangat berpengaruh di akalangan masyarakat Kelantan sehinggakan Sultan Kelantan turut merasa terancam dengan kebangkitan Tok Janggut dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka.

Al Fatihah..

Kami mahukan pemimpin yang berjuang kerana Agama..Jika tiada, jangan bimbang kerana usaha mencetak soff 'future leader' sudah bermula..Pastikan anda berada di lingkungan itu.
Seeru Al BarakatiLLAH

Monday, August 24, 2009

RAMADHAN KAREEM

Ramadhan Kareem kepada seluruh mahasiswa dan mahasisiwi
Mohon maaf dan fastabiqul khairat
Moga Ramadhan kali ini, Ramadhan yang penuh makna dalam sejarah kehidupan kita sebagai hambaNYA..
IKHLAS ~ NURUL IZZATIE AZIZ

Tuesday, August 18, 2009

SIGMA : SERIKANDI GERAKAN MUSLIMAT MUDA

Salam buat semua penggerak,

Dari meja Timbalan Pengerusi SIGMA 09/10.


Setiap muslimah pendokong harakah Islam mestilah benar-benar menyedari bahawa mereka mempunyai peranan yang tersendiri di dalam membina kekuatan ummah dan mendorong perjuangan Jamaah ke mercu kejayaan. Walaupun mereka dikenali sebagai golongan yang lemah lembut, namun dari fakta sejarah telah membuktikan bahawa mereka telah memberikan sumbangan yang sangat besar ertinya kepada perjuangan Islam.
Kepimpinan SIGMA mengajak seluruh mahasisiwi di kampus bersama-sama optimis
menggalas 3 agenda utama dalam orentasi SIGMA.

1) Pemerkasaan mahasiswi dalam gerakan
2) Mendepani isu wanita nasional dan global
3) Membina pelapis pemimpin wanita masa depan.

Pemerkasaan mahasiswi dalam gerakan-‘TRIPPLE P’

Kepimpinan SIGMA memandang serius soal pembinaan fardi muslimah.Supaya disana akan hadir seorang muslimah yang kompeten, akan berdiri seorang muslimah yang ada integrity, akan beraksi seorang muslimah membincangkan soal ummah, seorang muslimah yang tegar berdiri bersama susah dan senang perjuangan ini. Akan ada disana muslimat yang kaya dengan idea segar dan asli.Justeru, SIGMA pada kepimpinan ini secara teliti dan sepakat menggariskan ‘TRIPPLE P’ sebagai pengisian asasi kepada pembinaan mahasiswi di peringkat kampus.

P- Peka Isu

Dalam satu wawancara, seorang wartawan bertanya kepada Prof Dr Atan Long berhubung tujuan seorang pelajar belajar, beliau menjelaskan :
“ .. membina perkembangan diri seorang individu supaya dia menjadi manusia yang mantap untuk bukan sahaja bagi faedah dirinya, malahan kepada masyarakat. Menjadi manusia mantap ini termasuklah dari segi fizikal, mental, kerohanian dan akademik.

Ringkasnya, mahasiswa dan masyarakat tidak dapat dipisahkan. Hubungan antara keduanya dijalinkan dengan isu-isu yang melanda saban waktu. Semakin banyak isu, semakin dekat mahasiswa dengan masyarakat. Namun, jika mahasiswa menyepikan diri dari membicarakan isu-isu ini, mahasiswa hanya akan tinggal nama sahaja !
Generasi peka isu adalah generasi yang hidup mata,telinganya untuk keadaan ummah sekeliling diri beliau.

Adalah besar harapan kepimpinan SIGMA untuk sama-sama kita menjiwai elemen ini.Justeru SIGMA mendokong hasrat untuk melahirkan mahasiswi yang peka isu, cakna sekitar dalam kehidupan sebagai mahasiswi dan anggota masyarakat Keprihatinan terhadap hal ehwal sekeliling dapat melatih mahasiswi untuk lebih proaktif, bertanggungjawab dan responsif dan sekaligus telah menerapkan elemen ‘jiwa rakyat’ dalam keperibadian mahasiswi.

P- Public speaking

Firman Allah SWT yang bermaksud: Serulah kepada Allah jalan tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang terlebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalannya dan dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.
Kemahiran menyampaikan idea, menerangkan maklumat dan mempengaruhi pendengar antara elemen –elemen penting dalam tingkat public speaking. Kepimpinan SIGMA akan duduk semeja dengan kepimpinan muslimat kampus (lapisan yang paling hampir dan paling memahami mahasiswi kampus masing-masing) seluruh Malaysia untuk memikirkan methode-methode, melakukan siri-siri brainstorming tentang ‘tipping point’ program untuk membumikan lagi elemen ini kepada mahasiswi.

Impian SIGMA, kita akan zahirkan icon-icon public speaking dan sampaikan ‘suara’ mereka di kampus dan juga peringkat nasional. Biar bergegar pentas mahasiswa dengan suara-suara mahasiswi memberikan pendapat,idea yang segar dan hujah-hujah ilmiah tanpa emosi,insyaALLAH.

P- Public relation

Dakwah Islam satu usaha yang mulia, keperluannya bagi manusia tidak boleh ditangguhkan–tangguhkan.Tetapi,usaha tersebut memerlukan satu tahap kesungguhan dan keikhlasan yang tinggi.Dengan itu, dakwah perlu di atur
dengan teliti dan dengan strategi yang baik.
Bagi SIGMA, PUBLIC relation perlu disemai dan dibina pada peringkat awal pembinaan mahasiswi lagi. Mahasiswi di kampus lazimnya dikaitkan dengan golongan yang paling kurang bergaul dengan massa dan masyarakat.Oleh yang demikian, kepimpinan memandang, Public relation perlu diserap dalam pembinaan mahasiswi ssebagai persediaan mendepani masyarakat yang terdiri dari pelbagai karektor dan lapisan .

Dari SIGMA kelapangan ummah

SIGMA bersedia untuk membawa pendapat,pandangan mahasiswi dalam menyatakan pendirian terhadap isu-isu ummah dan sedikit keutamaan pada isu wanita. SIGMA akan tampil sebagai intelek muda yang mampu mengkritik, menyesali,dan seterusnya menerjah kebiasaan dengan member alternatif penyelesaian melalui idea-idea yang asli dan praktikal.

SIGMA harapan memimpin generasi

Sebenarnya angkatan Islam mengistiharkan saban waktu bahawa seseorang muslim itu mestilah menjadi pimpinan dalam segenap perkara. Mereka tidak berpuas hati selagi tidak dapat memimpin, bekerja, dan berjuang serta mendahului orang lain dalam setiap urusan, sama ada dalam bidang ilmu pengetahuan, kekuatan, kesihatan, dan juga kekayaan. Dan seruan inilah yang SIGMA akan laungkan, sebarkan,sampaikan kepada semua mahasiswi.
SIGMA positif dan serius untuk usaha-usaha pembinaan mata rantai pemimpin dan amilin yang professional.

Seorang penyair pernah berkata , “ Ibu adalah madrasah. Bila engkau mempersiapkannya, maka engkau telah mempersiapkan bangsa yang mulia”.

MUSLIMAT POWER!POWER!POWER!

Thursday, July 30, 2009

FA IQRA!!!

Salam perjuangan!!!
Setelah sekian lama, 'mengembara' dan berkelana menziarah rakan-rakan maya,akhirnya, jari ini terus menunaikan amanah yang sekian lama tertunda dek kerna aral-aral yang melintang tidak patah..(bukan memberi alasan,ye).

Biarpun menyepi, tapi kotak fikiran ini tetap disumbat dengan bahan bacaan yang saya dapatkan di Pameran Buku sempena E-fest yang lepas.
AlhamduliLLAH, saya sempat memiliki beberapa buah buku. Namun disini, saya hanya sertakan 2 buah daripadanya. Selebihnya buku berada di tangan sahabat-sahabat saya.

Wanita Inspirasi Teladan, Mohd Radzali Masrum & Ahmad Hafizudden Mohd Shaarani-Pustaka Yamien, Kuala Lumpur 2009



Buku ini menceritakan riwayat hidup 10 tokoh sahabaiah di zaman RasuluLLAH.Pembaca disajikan dengan penyampaian biografi tokoh bermula dari alam remaja,rumah tangga tanpa mengesampingkan episod-episod perjuangan seorang muslimah dalam menyebarkan Islam.Setelah membacanya, saya dapati banyak hikmah dan istifadah yang dapat diambil dan dikongsikan bersama.
Kepada semua serikandi, kalau bukan kita yang petah berbicara tentang tokoh-tokoh ini, siapa lagi? Adalah memalukan jika kita mendengar kisah-kisah mujahidah mukminah ini dari lidah seorang muslim.
Justeru, biar kita yang menguasai cerita,sejarah,hikayat agung ini. Kisah tentang wanita inspirasi teladan. Dan kita juga yang akan sampaikan kisah ini kepada semua muslimin dan ummah Islam disana. Sama-sama kita gegarkan dunia selesa serikandi dengan kisah-kisah perjuangan serikandi terdahulu. Selamat berjuang serikandi!!!

GENERASI MUDA ISLAM & CABARAN GLOBALISASI,Dr.Abdullah Nasih Ulwan terjemahan Hasnan Kasnan - YAPIEM



Dr Abdullah Nasih Ulwan berusaha menerangkan cabaran-cabaran penting yang dihadapi oleh golongan muda Islam beserta dalil-dalil yang membuktikannya. Penulis juga menyediakan jalan-jalan penyelesaian yang boleh diambil bila berhadapan dengan masalah-maalah tersebut.
Buku ini, pada awalnya memang tidak menarik minat saya untuk membelinya, kerana sudah pudar dan kusam warnanya. Tapi bila dibelek isi kandungannya, hati berkenan dengan kematangan dan relevansi hujah penulis. Benarlah, 'don't judge the book by its cover' =)

Seruan untuk semua serikandi, selamat perkasakan pembacaan!!!