BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, September 27, 2009

KEDAH DALAM JAGAAN

Selaku anak jati Kedah yang pulang beraya di negeri sendiri. Timbul rasa kecewa dengan tahap kebersihan negeri Kedah. Tidak dinafikan, sampah merata-rata dan sangat menyakitkan mata memandang dan hidung yang menghidu bau.

Semasa perhimpunan Mahasiswa bersama Menteri Besar, di Seri Mentaloon, persoalan ini juga ditimbulkan. AlhamduliLLAH, sudah ada penerangan dibuat. Dan saya mengambil langkah setapak untuk mewar-warakan kepada sahabat-sahabat yang lain tentang usaha kerajaan negeri Kedah yang serius menjaga kebajikan rakyat. Berikut adalah kenyataan akhbar dari Menteri Besar Kedah, Dato’ Azizan Abdul Razak di dalam lidah rasmi PAS; Harakah .

ALOR SETAR, 26 Sept: Masalah longgokkan sampah terutama di kawasan perumahan di sekitar bandaraya ini, dijangka dapat diselesaikan awal November ini selepas sebuah syarikat swasta mengambil alih kerja-kerja mengangkut sisa buangan.
Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, masalah berkenaan masih tidak dapat diselesaikan, kerana syarikat terbabit yang sepatutnya mengambil alih tugas daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), terpaksa menangguhkan kerja mereka sejak 1 Sept lalu.
"Ini berikutan dari permintaan dari Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu menyemak semula terma-terma berkaitan nasib pekerja MBAS selepas penswastaan kerja-kerja mengangkut sampah.
"Sekarang lori-lori mereka sudah sampai, masalah ini kena selesai betul-betul supaya tidak jadi masalah berlarutan dan kita harap ia selesai pada November ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi beliau di Seri Mentaloon, di sini.
Ustaz Azizan memberi respon terhadap laporan media yang mendakwa bandar raya Alor Setar semakin kotor kerana terdapat banyak longgokan sampah yang tidak diangkut sehingga menyebabkan bau busuk. Menurutnya lagi, masalah berkenaan bukanlah perkara baru dan bukanlah salah kerajaan negeri.
"Dari segi pentadbiran, kita tak boleh buat apa-apa kerana ini adalah permintaan dari Ceupacs sendiri. Kita menyedari tentang ketidakselesaan rakyat. Saya berasa dukacita dan memohon maaf kepada orang ramai yang berasa kurang selesa," ujarnya lagi.

Dari penulis,sebenarnya kes ini sudah termasuk dalam perhatian pihak kerajaan.Perlaksanaan akan berlaku cuma mungkin perlukan masa.Jadi,sama-sama kita perkasakan elemen penerangan kepada masyarakat setempat.

EID MUBARAK


Salam perjuangan,

 Salam Eid Fitri,

Ramadhan telah meninggalkan kita. SunnatuLLAH, bumi berputar,malam dan siang silih berganti,erti taat dan patuh padaNYA. Setiap yang hidup akan mati, setiap hari juga,ada mujahid kecil dilahirkan di dunia ini.

Ramadhan berlalu,bersama 1 tinggalan.Bekalan yang kita akan lihat hasil timbangnya di Akhirat. Tetapi timbul kebimbangan, keraguan dengan keupayaan diri untuk menempuhi hari mendatang. Masih terngiang-ngiang khutbah raya dari Imam kampung yang menyeru kita terus memperkasakan ibadah pada bulan seterusnya. Masih tersemat kemas pesanan Ustazah Hasliza (PhD, Jordan) sewaktu ber’consultation hour’ selepas subuh Ramadhan bersamanya.Nasihatnya bahawa bukankah setiap 2/3 pagi, Allah akan mengkabulkan doa bagi yang memerlukan, Allah akan mendengar rintihan kita..jadi,rugilah bagi kita yang melihat hanya Ramadhan sahaja peluang yang ada untuk memohon doa.SubhanaLLAH.
Eid Fitri disambut penuh fitrah dan syukur. Musafir dalam Ramadhan Al Mubarak 1430H, setiap dari kita mempunyai kisah,cerita tersendiri. Sedih dan suka. Biarlah kita simpan.Simpan dalam hati.Moga ianya jadi panduan pada hari mendatang.Kita maafkan semua insan. Kita syukur dengan segala dugaan dan ujian dari Allah yang padanya pasti ada kebaikkan kepada kita.


Semasa merayakannya, kita bertemu dengan sanak saudara, memohon maaf atas segala kata dan sikap yang kurang disenangi selama ini,kita juga melakukan amalan bersedekah,kita bertakbir dan bertahmid bersama.

Antara amalan yang biasa kita lihat sepanjang Syawal ialah amalan ziarah menziarahi. Sedikit komen mengenai sikap anak muda sekarang yang lebih gemar berehat di rumah pada pagi Syawal. Betapa ruginya mereka kerana tidak memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya. Peluang begini berlaku setahun sekali. Masa inilah kita cuba dekati jiran, bertanya khabar setelah lama tidak bertemu disebabkan mempunyai komitmen akademik di bandaraya. Selain itu, warga emas pasti berbunga hatinya melihat anak muda berbondong segak dan manis datang ke terataknya untuk menziarahinya.



Teringat pada perbualan dengan anak sepupu yang pekat loghat Kedahnya. "Ustazah (panggilan kepada saya), kita tak beraya lagi"..Terfikir.Keliru. Baru sahaja kami bersalaman sebentar tadi. Kemudian anak kecil molek, Adrieanna namanya berkata, " dah dapat duit raya baru kira beraya". Wah, itu takrif raya bagi kanak-kanak. Amalan pemberian duit raya seakan-akan menjadi perkara wajib semasa hari raya. Sesiapa yang berkunjung ke rumah tanpa memberikan duit raya pasti 'dikutuk' oleh kanak-kanak. RM 10 sudah menjadi nilai terendah yang disisipkan dalam sampul duit raya.

Dan akhirnya,saya tertarik untuk memberi idea pada pembudayaan rumah terbuka di kalangan masyarakat kita. Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Boleh dikatakan dalam sehari terdapat 3 atau 4 undangan ke rumah terbuka dari penduduk  taman perumahan yang sama. Saya meraikan budaya ini. Cuma kadang-kadang yang paling sedih ialah berlaku pembaziran makanan. Paling tidak, kita berbincang terlebih dahulu dengan jiran untuk menyusun gilir membuat rumah terbuka. Dari situ, banyak benda dapat dijimatkan seperti wang,makanan,masa dan tenaga.

Benar, La’allakum Tattaqun..Moga-moga kamu beroleh taqwa.Selepas Ramadhan, kita jadi semakin takut dengan Allah. Kita semakin tahu,bahawa Allah itu ada.Kita semakin cakna tentang ibadah wajib dan sunat.Kita semakin laju berlari mendekatiNYA..Itu indahnya Ramadhan.

Jadilah hamba Rabbani, bukan hamba Ramadhani…

Wednesday, September 9, 2009

TOK JANGGUT ; QUDWAH BUAT PEMIMPIN

Hj. Mat Hassan bin Panglima Munas atau Tok Janggut anak melayu jati Kelantan diperanakkan pada sanah 1268 bersamaan dengan TM 1850. Semasa ia lahir dari kandungan ibunya oleh uri yang tebal (Tebal Tembuni).
Tatkala umur Mat Hassan genap dua puluh lima tahun, beliau tersangatlah berani dan handal orangnya serta menjadi ketua bagi sekelian kawan-kawannya (Kepala Pengat) dan jika ada pencuri yang masuk kampung hendak mencuri, maka beliaulah akan memukul atau menikam pencuri tersebut.
Ada pun sifat tubuh Mat Hassan iaitu tingginya lebih kurang enam kaki. Bentuk badannya sederhana, warna kulitnta hitam manis, matanya bulat dan tajam pula pemandangannya serta kemerah-merahan alamat ia seorang yang berani. Dahinya luas, alamat luas kira bicara. Kepalanya besar tanda berakal dan rambutnya botak menunjukkan ia kuat berfikir dan kening lebat, tanda tetap didalam membuat sesuatu keputusan.
Pakaian yang digemarinya pula ialah dari jenis yang berwarna hijau. Senjata yang selalu ada di badannya ialah sebilah keris majapahit berhulu gigi luk sembilan iaitu keris pusaka dari bapanya. Budi bahasanya tersangat halus dan suka menolong orang yang ditimpa kemalangan dan kesusahan, tetapi beliau sangat juga sangat pembengis jika barangsiapa berbuat jahat atau zalim dan beliau pernah menikam orang yang berbuat zalim dengan kerisnya
Semasa berumur lebih kurang tiga puluh tahun, Mat Hassan telah mula menyimpan janggutnya sehingga panjang mencecah ke dada. Bermula dari situlah nama Mat Hassan lebih dikenali dengan nama panggilan “Tok Janggut”.
Tok Janggut naik haji ke Mekah pada tahun 1327H bersama sepupunya Tuan Guru Hj. Salleh kampung Alur Pasir Wakaf Berangan. Semasa di Mekah, Tok Janggut sempat berguru dengan Syekh Ahmad Al Fatani.
Apabila British mengenakan cukai kepada rakyat Kelantan, ramai yang tidak berpuas hati. Tambahan pula En. Abdul Latiff iaitu Tuan Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang baru tiba dari Singapura selalu sahaja bersikap kurang ajar kepada orang-orang kampung ketika melaksanakan tugasnya untuk mengutip cukai. Lalu orang-orang kampung yang diketuai oleh Hj. Mat Hassan bin Munas atau lebih dikenali dengan nama Tok Janggut berserta rakan-rakannya seperti Tok Abas, Tok Hussin, Hassan Rimau, Berahim Teleng dan ramai lagi bangun dan menentang pihak British yang bersikap kuku besi. Mereka bergabung dengan Tengku Besar Tuan Ahmad iaitu pembesar di Jeram, Pasir Puteh Kelantan bersama-sama membentuk hampir tiga ribu orang dalam empat pasukan yang diketuai oleh sahabat-sahabat Tok Janggut.
Dalam peperangan itu, akhirnya Tok Janggut mati ketika sedang sedang berjuang menentang di medan perang. Mayat Tok Janggut dibawa dari pasir Puteh ke Kota Bharu dengan kereta lembu dan diarak diseluruh bandar Kota Bharu untuk tontonan rakyat jelata. Selesainya dibawa berkeliling di Padang Bank sebanyak tiga kali, mayat Tok Janggut disait (gantung songsang) di tengah Padang Bank selama satu jam. Kemudian mayatnya dibawa ke Pasir Pekan untuk dikebumikan di sana.
Rujukan dari buku “Riwayat Hidup Tok Janggut” susunan Hj. Abdullah Amirah cetakan Sinaran Bros 1957. Hj Abdullah adalah anak kepada Awang Merah, iaitu salah seorang rakan setia Tok Janggut sewaktu menentang British tahun 1915.
Segala yang di atas, dari sudut pandang sejarah. Dari sudut yang lain:
Agama dan Aqidah – mempunyai pegangan agama yang kuat. Semasa berada di Mekah, beliau sempat menuntut ilmu dengan Syeikh Ahmad Al Fatani. Beliau juga merupakan ikon agama Islam di kalangan masyarakat setempat.
Semangat memperjuangkan Tanah Air – beliau terus terang menentang system-sistem yang menzalimi penduduk. Tegas membawa isu untuk menuntut hak dan keadilan. Jika kita alihkan pandangan ke zaman sekarang, masih adakah golongan muda seperti ini? Atau cara pewajahan kita terhadap isu sudah berbeza?
Ukhwah dan kerjasama – Beliau tidak bergerak seorang diri dan beliau sangat-sangat yakin dengan kemampuan sahabat sepasukannya.. No leader rides alone.
Tertarik untuk menggunakan Law of Magnetism dalam kisah perjuangan Tok Janggut. Di sebabkan penampilan Tok Janggut yang mempunyai janggut yang mencecah dada, beliau lebih sinonim dengan gaya orang agama. Masyarakat Melayu ketika itu, cukup menghormati golongan ini. Disebabkan penampilannya begitu, maka beliau sangat berpengaruh di akalangan masyarakat Kelantan sehinggakan Sultan Kelantan turut merasa terancam dengan kebangkitan Tok Janggut dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka.

Al Fatihah..

Kami mahukan pemimpin yang berjuang kerana Agama..Jika tiada, jangan bimbang kerana usaha mencetak soff 'future leader' sudah bermula..Pastikan anda berada di lingkungan itu.
Seeru Al BarakatiLLAH