BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, June 8, 2009

GAMIS saran wakil rakyat iktiraf suara anak muda kampus

sumber :gamisdaily

Keterbukaan MPPUIAM menjemput wakil PKR, YB Nik Nazmi Nik Ahmad dan wakil UMNO, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk berbincang dengan front utama kampus iaitu GAMIS, PRO-M, PKPIM dan GPMS sejurus tamat forum Global Economy Crisis di Auditorium Utama UIAM telah mencatatkan satu lagi sejarah baru dalam era politik kampus di UIAM. Walaupun hanya mengambil masa selama 15-20 minit, pertemuan tertutup tersebut yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden MPP, Saudara Sofiyussalam, telah membuka ruang kepada front liner mahasiswa untuk berkongsi pandangan masing-masing.

Wakil Pro-M kampus, Saudara Faridzul telah menyatakan hasrat supaya Seksyen 15 AUKU dinilai semula kerana pemindaan akta tersebut baru-baru ini dilihat tidak lebih daripada memperbaharui komestik yang sedia ada. Hal ini disebabkan oleh kuasa untuk melarang mahasiswa untuk tidak terlibat dengan persatuan-persatuan yang difikirkan boleh mengancam negara masih di bawah kuasa Menteri terbabit. Manakala takrifan ancaman kepada negara pula masih kabur dan tidak jelas yang dibimbangi akan bias kepada gerakan yang kelihatan tidak sebulu dengan kerajaan. Tanpa menafikan kebebasan terkawal yang diberikan kepada mahasiswa, Pro-M turut berharap ia bukan sekadar teori semata-mata, tetapi idea tersebut perlu dibumikan sewajarnya supaya ia dapat dirasai oleh seluruh mahasiswa kampus.

Wakil GAMIS kampus, Saudara Zaki pula telah menyatakan hasrat bahawa seharusnya anak muda di peringkat kampus diberikan kebebasan sewajarnya dalam memainkan peranan sebagai agen semak dan seimbang kondisi negara pada masa kini. Beliau menyatakan kegusaran bahawa pelbagai sekatan yang masih menghantui mahasiswa universiti boleh menyebabkan mereka menjadi kaku seterusnya hasrat kerajaan untuk mewarisi kepimpinan negara kepada golongan intelektual akan menjadi seperti melepaskan batuk di tangga. Beliau juga berpendapat bahawa di sebalik pengiktirafan massa kepada keintelektualan mahasiswa yang berada di kampus, sebenarnya mereka secara tidak langsung telah dipasifkan kualiti yang ada dengan pelbagai sekatan yang boleh merentap terus kekreativitian mereka. Anak-anak muda yang tidak berada di kampus pula sememangnya bebas bersuara dan memberikan pandangan, justeru, beliau melahirkan kebimbangan jika keadaan ini berterusan, produk-produk kelahiran universiti ini akan hanya menjadi ‘pemain simpanan’ dalam mencorakkan arah tuju negara pada satu hari nanti.

Sementara wakil SIGMA GAMIS, Saudari Izzatie juga meminta supaya peranan anak muda kampus muslimat tidak dipandang sebelah mata. Kerajaan juga sewajarnya memberi tempat kepada golongan mahasiswi melengkapi lagi hala tuju terutama perkara yang berkaitan dengan hal ehwal wanita seterusnya mengiktiraf suara wanita untuk turut sama memikul tanggungjawab membawa negara mendepani cabaran arus semasa.

Pertemuan yang berakhir pada pukul 1 pagi tersebut telah disepakati oleh front liner mahasiswa keseluruhannya yang berharap supaya pihak kerajaan mahupun pembangkang memainkan peranan penting dalam membuka ruang dan peluang kepada mahasiswa menempatkan diri dalam mencorakkan suasana negara.

0 comments: